Urusan pengambilalihan dan penggabungan oleh firma dari China di pelbagai negara seluruh dunia memang cukup ketara.
Di Malaysia, kita boleh lihat bagaimana DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) mencapai persetujuan dengan syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) bagi membolehkan syarikat tersebut membeli 49.9 peratus saham Proton Holdings Berhad (Proton).
Sebenarnya, urusniaga seumpama ini tidak hanya berlaku di Malaysia sahaja. Ia juga turut berlaku di negara-negara maju di Barat. Dahulu, pelbagai jenama dan nama besar kebanyakannya dimiliki oleh Konglomerat Barat sahaja. Namun kini, sedikit demi sedikit, syarikat dari China telah mula mempunyai kepentingan melalui pegangan unit saham di dalam pelbagai syarikat gergasi barat.
Jom, kita kongsikan antara syarikat gergasi barat yang kini menjadi milik para pelabur dari China.
STARWOOD HOTELS & RESORT WORLDWIDE INC
Bermula Mac 2016, syarikat ini telah dibeli oleh Anbang Insurance dengan nilai pengambilalihan sebanyak USD14.3 bilion daripada Marriot International Inc.
Starwood memiliki lebih 1,300 buah hotel pelbagai jenama diseluruh dunia. Antaranya ialah Marriot, Renaissance, Westin, The Ritz-Carlton, A Loft, Sheraton, Le Meridean, St Regis dan banyak lagi.
LEGENDARY ENTERTAINMENT GROUP
Syarikat ini telah dimiliki oleh Dalian Wanda pada Januari 2016 dengan nilai transaksi sebanyak USD3.5 bilion. Legendary merupakan antara pembiaya kepada beberapa buah filem bajet besar seperti Jurrasic World, Godzilla dan Pacific Rim.
MOTOROLA
Pada Januari 2014, Lenovo telah membeli Motorola Mobility dari Google Inc pada harga USD 2.91 juta. Walaupun telah dibeli oleh Lenovo, jenama ini akan terus beroperasi secara berasingan di Amerika Syarikat.
LONDON TAXI
London Taxi Cab yang terkenal dengan warna hitamnya juga merupakan milik penuh Zhejiang Geely Holding Group dari China. Ia dibeli pada tahun 2013 dengan harga RM59.8 juta dari syarikat Manganese Bronze.
VOLVO
Pada tahun 2010, pengeluar kenderaan dari China, Zhejiang Geely Holding Group telah berjaya memiliki jenama kereta dari Sweden ini. Ia kini menjadi pemegang saham terbesar dalam AB Volvo dalam satu transaksi bernilai 2.7 bilion Euro (RM13.11 bilion). AB Volvo merupakan pengeluar trak kedua terbesar dunia.
CERRUTI
Li & Fung Group’s Trinity telah membeli Cerruti dari MatlinPatterson pada harga 53 juta Euro sekitar akhir tahun 2010. Jenama Cerruti dari Paris diasaskan oleh pereka fesyen dari Itali, iaitu Nino Cerruti pada tahun 1967.
BENELLI
Benelli merupakan antara jenama motorsikal tertua di Itali dan telah ditubuhkan pada 1911 di Pesaro, Itali. Pada tahun 2005, Benelli telah diambil alih oleh QianJiang Group of China (QJ) daripada Gruppo Merloni.
QJ merupakan salah sebuah syarikat yang mengeluar dan menjual motorsikal yang terbesar di China. Dengan kapasiti pengeluaran sehingga 1,000,000 unit motorsikal setahun, selain mampu membina sehingga 2 juta enjin di kilangnya di Wenling, China.
AC MILAN
AC Milan diambil alih oleh Rossoneri Sport Investment Lux Group dari China pada tahun 2016, setelah bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, melepaskan kelab berkenaan.
Berlusconi yang memiliki AC Milan lebih daripada tiga dekad telah menjual kelab itu ketika ia berada di tahap paling buruk dalam sejarah penubuhannya pada 1899. Nilai transaksi juara Eropah 7 kali ini ialah 750 juta Euro (RM3.46 bilion)
ASTON VILLA
Aston Villa telah dibeli Kumpulan Recon yang dimiliki oleh Dr Tony Jiantong Xia. Sebelumnya, kelab England ini dimiliki oleh warganegara Amerika Syarikat, Randy Lerner. Perjanjian jual beli ini melibatkan transaksi bernilai USD86 juta.
Penjualan ini dilakukan ekoran prestasi pasukan kelab tersebut yang tersingkir daripada Liga Perdana England selepas menamatkan musim 2015/16 di tangga tercorot.
MERCEDES BENZ
Pada awal tahun 2018, Zhejiang Geely Holding Group telah pun membuat pengambilalihan ke atas Daimler AG, pemilik jenama Mercedes Benz.
Pemilik kereta jenama Geely ini dikatakan telah membelanjakan hampir USD9 bilion (RM37.28 bilion) untuk menjadi pemegang saham terbesar Daimler. Zhejiang Geely Holding juga merupakan rakan strategik jenama kereta nasional Proton.