Memiliki aset sendiri khusunya rumah atau kereta pasti menyeronokkan. Kalau ada duit lebih, boleh miliki kedua-duanya serentak. Namun, jika bajet tidak mencukupi, mana satu yang harus didahulukan? Beli kereta atau rumah dahulu?
Bagi memudahkan anda membuat keputusan, jom kita kongsikan panduan yang mungkin boleh membantu.
Risiko
Risiko Kereta – Duit deposit rendah & bayaran bulanan boleh diselaraskan tempoh bayaran baliknya. Kereta memudahkan kita bergerak kemana-mana sahaja yang disukai. Namun, kereta termasuk dalam aset yang menyusut nilainya.
Risiko Rumah – Bayaran pendahuluan rumah agak tinggi dan pembeli biasanya akan terikat dengan tempoh bayaran balik yang panjang. Namun, nilai rumah sentiasa meningkat dari semasa ke semasa. Kalau tidak beli sekarang, bila lagi? Ia satu pelaburan jangka masa panjang yang menguntungkan.
Keperluan vs Kemahuan
Antara rumah dan kereta, yang mana satu paling diinginkan? Mampu untuk dimiliki atau tidak? Buat keputusan berdasarkan kepada kemampuan dan bukannya nafsu. Dahulukan mana yang perlu. Lain orang, lain situasinya.
Untuk jangka panjang, jika anda mahu bina kerjaya dan keluarga, menyewa rumah bukan pilihan bijak.
Bajet
Gaya hidup mana yang jadi pilihan hati? Anda pilih beli kereta tidak bermakna anda tidak mampu membeli rumah. Bagi sesetengah orang, menyewa bukan satu masalah utama. Mungkin atas faktor lokasi tempat kerja dan faktor luaran lain.
Semak dahulu kedudukan kewangan anda. Inilah faktor utama yang perlu diambil kira dahulu. Ambil kira kemampuan sama ada boleh teruskan kehidupan dengan selesa selepas itu atau tidak selepas pembelian tersebut.
Rekod Hutang
Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan untuk mendapatkan pembiayaan perumahan berbanding kereta. Oleh itu, anda perlu mempunyai rekod hutang yang baik. Jika anda tidak pernah berhutang, agak sukar pihak bank untuk membuat penilaian. Anda pembayar hutang yang baik atau sebaliknya?.