Beras Putih Malaysia Madani – Apa yang Kita Ketahui Setakat ini

Kerajaan telah memperkenalkan kategori TUNGGAL bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran. Ini bermakna tiada lagi kategori Beras Putih Tempatan (SST) dan Beras Putih Import (SSI) melainkan Beras Putih Malaysia Madani sebagai kategori tunggal.

Pengumuman ini dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Dalam pengumuman yang sama, kerajaan turut memberi tempoh masa antara 19 Februari hingga 1 Mac 2024 kepada pemain industri beras untuk membuat penyelarasan dengan membenarkan semua jenis pembungkusan lama dijual sehingga stok pengampitan di pemborong habis. Selain itu, kerajaan turut membenarkan bungkusan lama dipakai namun mesti ditampal dengan pelekat harga Beras Putih Malaysia MADANI seperti mana yang telah ditetapkan.

Pengumuman ini dibuat selepas mengambil kira tiada kenaikan harga beras putih selama 18 tahun dengan perkara ini sudah dibentang dan dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Harga Siling Beras Putih

  • 10kg – RM30
  • 5kg – RM15.50
  • 1kg – RM3.50

Penetapan harga siling baru bagi beras berkenaan akan berkuat kuasa pada Isnin ini dan pengguna boleh mula mendapatkan di pasaran bermula 1 Mac depan.

Seperti termaktub dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), sebelum ini, harga kawalan maksimum beras Super Spesial Tempatan lima peratus (SST5) di peringkat runcit ialah RM2.60 sekilogram

Syed Abu Hussin Hafiz berkata penetapan harga siling Beras Putih Malaysia Madani itu juga muncul sebagai mekanisme menoktahkan tindakan pemanipulasian bekalan beras putih tempatan.

Ini kerana, katanya, segelintir pengeluar sebelum ini dikenal pasti mencampurkan beras putih tempatan dengan kampit beras putih import, bertujuan meraih keuntungan lebih.

"Tindakan ini berpunca akibat tiada kawalan harga ditetapkan bagi bekalan beras putih import, menyebabkan harga barangan berkenaan sentiasa tinggi selain didorong faktor lonjakan harga import akibat kenaikan harga beras global.
"Ia menyebabkan label beras putih tempatan akhirnya ditukar kepada beras putih import atau ia dicampur dan sebagainya, menyebabkan bekalannya sukar didapati di pasaran," katanya.

Rujukan:

  1. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/02/1212471/beras-putih-malaysia-madani-nama-baharu-beras-putih-tempatanimport
  2. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1060778/kerajaan-perkenal-beras-putih-malaysia-madani-pada-harga-rm30